TUMPAT - Jemaah solat Terawih Masjid Mukim Kutan digemparkan dengan kematian bilal gantian yang meninggal dunia ketika solat, malam tadi.
Mangsa dikenali Che Kob @ Yaakub Che Sop, 69, rebah ketika rakaat ke empat.
Setiausaha Masjid Kutan, Che Adnan Che Hassan berkata, ketika kejadian Che Kob berada di saf ke empat.
"Tiba-tiba Che Kob rebah ke belakang, kepalanya terkena lutut saya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.15 malam.
"Saya berada di belakangnya dan semua jemaah waktu itu dalam keadaan berdiri selepas takbir," katanya.
Panik melihat kejadian itu, Che Adnan dan jemaah lain di safnya berhenti solat kerana mahu membantu Che Kob.
"Saya cuba membantunya tetapi dia sudah tidak sedarkan diri.
"Saya dan seorang lagi  jemaah mengajar Che Kob mengucap dua kalimah syahadah," katanya.
Katanya, kejadian itu terus dilaporkan kepada polis yang kebetulan bertugas di Masjid Mukim Kutan.
"Che Kob disahkan meninggal dunia di masjid itu oleh petugas kesihatan yang datang memeriksanya.
"Di dalam poket baju Che Kob ada alat sedut asma kerana dia mengidap asma," katanya.