KOTA TINGGI - Jeritan seorang wanita berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sini daripada nyaris menjadi mangsa cabul seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam itu disedari seorang wanita berusia 32 tahun di lorong belakang, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi dekat sini.
Menurutnya, semasa berada di dapur rumahnya, pengadu ternampak seorang lelaki bersama seorang kanak-kanak perempuan memakai pakaian pra sekolah yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego warna merah, berhenti di belakang rumah pengadu.
Katanya, pengadu mendakwa secara tiba-tiba lelaki tersebut terus membuka seluar dan mengeluarkan kemaluannya lalu menarik baju kanak-kanak tersebut ke atas.
"Pengadu terkejut dan terus menjerit sambil mengetuk cermin dapur rumah pengadu. Lelaki tersebut kemudiannya terus memecut motosikal dan meninggalkan kawasan rumah pengadu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ekoran tidak puas hati dengan perbuatan tersebut yang didakwa cuba meliwat kanak-kanak tersebut pengadu datang ke balai membuat laporan agar pihak polis menyiasat perkara itu.
Katanya, pengadu telah datang ke Balai Polis Kota Tinggi buat laporan pada pagi tadi pada jam 10.45 pagi.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.
"Pihak polis juga telah mengenal pasti suspek dan tindakan segera akan diambil," katanya lagi.