KOTA BHARU – Seorang jurutera kualiti warga negara Bangladesh mengaku tidak salah di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas dua dakwaan mencabul seorang anggota polis wanita.
Dakwaan terhadap Md Suman Hossain, 25, dibuat di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Md Suman didakwa pada tuduhan pertama didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel polis berusia 24 tahun itu dengan meraba punggung mangsa di kaunter sebuah hotel di Jalan Kebun Sultan, di sini, pada jam 11.45 malam, 29 Mei lalu.
Pada tuduhan kedua, di tangga hotel sama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan memeluk belakang mangsa dengan maksud mencabul kehormatannya pada masa dan tarikh yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ainun Zafirah Abd Halim memohon tarikh sebutan dan tidak mencadangkan jaminan berikutan tertuduh warganegara asing, namun peguam, Mohd Rafizi Abdullah merayu bagi pihak anak guamnya itu supaya dibenarkan jamin.
“Tertuduh mempunyai pasport yang sah dan mahkamah boleh menahan pasport tertuduh serta itu sudah mencukupi bagi memastikan tertuduh tidak melarikan diri daripada negara ini,” katanya.
Mendengar hujahan itu, Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Julai depan. Setakat petang semalam, jamin belum dijelaskan.