KOTA BHARU - “Awe hok kerat kaki Tok ni". Begitulah kata-kata yang diucapkan seorang nenek yang terpaksa menanggung kesakitan selepas kaki kirinya putus ditetak seorang remaja lelaki dalam kejadian di Tanjong Rendang, Lemal, Pasir Mas.
Mek Som Mat Diah, 89, yang membahasakan dirinya ‘Tok’ itu, dilihat terketar-ketar serta berusaha untuk bangkit dari katil sebelum mengusap-usap bahagian tercedera yang berbalut rapi.
Suasana di Wad Zamrud, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini menjadi lebih pilu apabila Mek Som termenung seketika sambil merenung kakinya.
Mek Som berkata, dia hanya tinggal berdua bersama anak tunggalnya, Esah Dollah, 60, yang sudah berpisah dengan suaminya dan dan tidak mempunyai cahaya mata.
“Ambo kenal ‘Awe’ tu, sebab dia selalu (sering) datang ke rumah ambo dan 'laye’ (anggap) dia seperti cucu.
“Kalau dia mahu makan, Tok bagi makan tapi kalau dia minta duit, Tok tak bagi. Semalam ‘Awe’ datang lagi minta duit sebab dia ingat Tok dapat duit bantuan kerajaan. Tok buke tok sey buwi tapi tak ado pitih,” katanya.
Menurut Mek Som, disebabkan itu, Awe marah dan tuduh warga emas itu tipu.
"Dia tumbuk Tok. Selepas itu Tok tak ingat apa yang berlaku.
“Tiba-tiba Tok rasa sakit pada kaki. Tok menangis, Aduhla... aduhla... sakitnya. Sampai jiran datang tolong,” katanya ketika ditemui di hospital semalam.
Ditanya mengenai persiapan sambutan Aidilfitri kali ini, Mek Som berkata, dia dan Esah tidak membuat apa-apa persiapan dan hanya menyambut Syawal secara ala kadar.
“Kalau kaki tak sembuh, Tok mungkin beraya di hospital sahaja. Raya mana-mana pun tak apa. Di sini seronok juga, ramai orang. Kalau di rumah sunyi,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, pergelangan kaki kiri Mek Som putus dikerat suspek yang berang kerana warga emas itu enggan memberinya wang. Mangsa turut cedera di bahagian muka dipercayai ditumbuk suspek yang berusia 19 tahun.